Monday, October 10, 2011

Vektor 58 in Harian Metro



Vektor 58 Banyak Gunakan CGI

Oleh Nor Akmar Samudin

akmar@hmetro.com.my

SEORANG lelaki muda dengan tiga empat lelaki lagi yang semuanya dilihat hampir sebaya, khusyuk melihat ‘monitor’ bagi memastikan setiap adegan yang dirakamkan sempurna. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu mengulangi rakaman lakonan untuk babak berkenaan.
Semua tampak serius menyiapkan setiap babak yang berlangsung sepanjang hari di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Sebelum ini penulis mengenali pengarah drama itu hanya pada nama saja. Itu pun selepas diberitahu oleh Pengurus Produksi (PM) drama itu, Che’ Mat Ismail dan pembantunya Sam Anuar Zainal Abidin. Kata Che’ Mat yang terkenal dengan sifat ramah tamah, pengarah itu anak muda yang bercita-cita tinggi.

Apabila Che’ Mat memanggilnya untuk ditemubual, ternyata pengarah bernama Mohd Roshfaizal Ariffin atau hanya mahu dikenali dengan nama pendek, ROSH, memang masih muda, baru 29 tahun namun dengan kesungguhannya mahu menjadi usahawan berjaya dalam bidang penyiaran, karismanya mula terserlah.

Pemuda berkelulusan bidang perfileman dan animasi itu sebelum bergelar pengarah drama, banyak buat kerja di belakang tabir. Dengan kepakaran yang ada padanya, dia bersama rakan kongsi, Mohd Fasya Daud dan Anuarul Zaid Suhut, banyak mencurahkan keringat menghasilkan muzik video untuk artis terkenal seperti Datuk Sheila Majid dan Anuar Zain.

Menurut Rosh, tugas utama mereka mereka kesan visual untuk muzik video itu. Selain muzik video mereka turut membuat kesan visual untuk drama dan filem. Hasil kerja mereka boleh dilihat dalam filem Mantra dan Belukar.

“Tamat pengajian, kami menubuhkan syarikat Chain-FX Sdn Bhd. Kami banyak buat CGI untuk drama dan filem. Dengan pengalaman yang ada, kami bertiga berasakan sudah tiba masanya kami membuka syarikat produksi sendiri.

“Kami menzahirkan harapan yang menggunung tinggi itu dengan menerbitkan drama ini, Vektor 58. Drama ini bakal menguji kami sejauh mana penonton dapat menerima pembaharuan yang dibawakan.

“Berbeza dengan syarikat produksi lain, kami belum terikat dengan mana-mana stesen TV untuk menyiarkannya. Pun begitu kami ada berbincang dengan ketua salah sebuah stesen TV itu dan secara lisannya, mereka nampaknya menyokong idea kami itu.

“Tapi dek kerana Vektor 58 menggunakan banyak kesan CGI yang mengambil masa lebih 10 bulan untuk disiapkan kami tidak mahu terikat dulu dengan waktu siaran yang ditetapkan oleh stesen TV itu. Biarlah kami selesaikan semua kerja dulu baru fikirkan soal tayangan.

Vektor 58 adalah kisah mengenai robot makhluk asing yang datang ke bumi untuk menyertai satu pertandingan. Enam robot itu akan bertanding sesama sendiri dan pemenangnya akan memerintah planet yang mereka duduki.

“Kerjanya sangat rumit di mana kami merakamkan terlebih dulu aksi pelakon sebenar. Kemudian karektor manusia asal itu akan digantikan dengan robot yang diwujudkan oleh CGI.

“Karektor robot itu akan mengikut karektor asal pelakon sebenar. Setiap penggambaran untuk karektor asal itu akan diambil dua kali. Jadi bayangkan, kalau kami terikat dengan jadual penggambaran yang sudah disediakan stesen TV, tentu kami tidak dapat menyiapkannya mengikut apa yang terkandung dalam idea asal drama ini.

“Suara robot itu juga adalah suara pelakon asal. Produksi menetapkan durasi selama 40 hari penggambaran kerana tidak mahu terlebih bajet. Drama 13 episod ini menelan belanja lebih RM1.5 juta,” katanya.

Cabaran untuk membuat drama itu, jelas Rosh semua pelakon utamanya adalah bakat baru. Oleh itu mengambil sedikit masa untuk melatih mereka. Wajah baru yang mewarnai drama ini, Fadzli Rahim, Iylia Insyirah, Ain Satar, Ku Mohd Amirul, Nor Intan Bhaizura dan Jefri Jefrizal.

“Kami terpaksa mencari pelakon baru kerana ketika uji bakat pelakon yang ada tidak sesuai. Untuk mencari kesempurnaan dalam setiap watak itu, kami melakukan empat hingga lima kali tapisan.

“Selain 50 hingga 60 peratus menggunakan kesan CGI, ia juga membabitkan banyak adegan lasak. Justeru untuk itu saja, penggambaran perlu dilakukan dalam banyak fasa.

“Saya yakin penonton akan suka dengan drama ini kerana karektor robot itu. Di samping pelakon baru, untuk setiap episod kami tampilkan ramai cameo yang terdiri dari artis terkenal antaranya, Datuk Aziz Singah, Puspha Narayan, Kazaruddin Saisi, Elyana, Ogy Ahmad Daud, Azmaa Aizal Yusof, Nasha Aziz, Mohd Kamarulzaman (Ce’ Kem) dan Norman Hakim,” katanya.

Katanya, Vektor 58 adalah cerita serius. Rosh dan rakan kongsinya bukan saja mensasarkan drama itu untuk tontonan Malaysia malah mencari jalan untuk memasarkannya ke negara jiran.

http://www.hmetro.com.my/articles/BORAKLOKASI_Vektor58banyakgunakanCGI/Article

No comments:

Post a Comment